PERBADANAN KEMAJUAN KRAFTANGAN MALAYSIA, Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Seksyen 63, Jalan Conlay, 50450 Kuala Lumpur | Tel : 03-2162 7459 | Faks : 03-2162 7434
Tuesday, October 15, 2013
Wednesday, October 9, 2013
AMALAN PUASA DI BULAN ZULHIJJAH
Kita perlu menghayati ‘Roh Haji’ walaupun tidak ke Tanah Suci supaya beroleh ganjaran yang disarankan pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Allah Yang Maha adil dan Maha Penyayang tetap mahu seluruh umat Islam dapat manfaat di atas keutamaan jemaah yang telah dijemput khusus di Tanah Suci.
Kepada yang tidak dapat ke sana, Allah tidak pernah melupakan. Kita tetap diberi keutamaan. Kita masih tetap dituntut oleh Allah SWT supaya menghayati ‘Roh Haji’, kerana Allah tetap mahu mengurniakan pahala dan rahmat-Nya dengan syarat kita kekal mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
Pada sepuluh hari pertama Zulhijjah disamping memperbanyakkan berzikir, istighfar, doa dan sedekah, digalakkan juga mengerjakan puasa. Berpuasa setiap hari daripada 10 Zulhijjah seolah-olah berpuasa setahun dan berdiri mengerjakan solat setiap malam daripadanya sebanding dengan solat di malam Lailatulqadar.
Rasulullah SAW bersabda: “Tiada sebarang hari pun yang lebih disukai Allah dimana seorang hamba beribadat di dalam hari-hari itu daripada ibadat yang dilakukannya di dalam 10 hari Zulhijah. Puasa sehari di dalam hari itu menyamai puasa setahun dan qiamulail (menghidupkan malam) di dalam hari itu seumpama qiamulail setahun.”
Diriwayatkan dari Ibn Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Tiada amal soleh yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih disukai daripada hari-hari ini (sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah).” (Hadith Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari beberapa isteri Nabi SAW: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melakukan puasa sembilan hari di awal bulan Zulhijjah, di Hari Asyura dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin yang pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasa’ie)
Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah orang yang tidak mendapat bahagian kebaikan dalam hari-hari sepuluh, jagalah terutama berpuasa pada hari kesembilan Zulhijjah sebab ia mengandungi kebaikan (keuntungan) yang lebih banyak dari apa yang dapat dihitung oleh ahli hitung.” (Riwayat Abu Dardaa.)
Puasa Arafah
Puasa Hari Arafah ialah puasa pada hari ke 9 Zulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Mereka boleh memanfaatkan kemuliaan hari Arafah dengan berpuasa sunat, berzikir dan melakukan amalan-amalan sunat lain.
Berpuasa Sunat Arafah dapat menghasilkan ganjaran pahala yang sangat besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis riwayat Muslim).
Daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a.; Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
.
Rasulullah SAW juga bersabda: “Orang yang berpuasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah), Allah akan menuliskan baginya puasa 60 tahun dan Allah menuliskannya sebagai orang yang taat.”
.
.
Niat Puasa Hari Arafah;
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ مِنْ يَوْمِ الْعَرْفَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Daku berniat puasa hari Arafah, sunat kerana Allah Ta’ala.
.
Rasulullah SAW. bersabda lagi: “Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”
.
Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu.
Diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith: “Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di Arafah lantas Baginda meminumnya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Juga daripada hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari Arafah bagi mereka yang berada di Arafah.” (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah r.ha.).
.
.
Pendapat Ulama Tentang Puasa Arafah
1. Al-Imam as-Syaf’ie rh berpendapat; “Disunatkan puasa pada hari ‘Arafah bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji. Adapun bagi yang mengerjakan ibadah haji, adalah lebih baik untuknya berbuka agar ia kuat beribadat di ‘Arafah.”
2. Dari pendapat Imam Ahmad rh pula; “Jika ia sanggup berpuasa maka boleh berpuasa, tetapi jika tidak hendaklah ia berbuka, sebab hari ‘Arafah memerlukan kekuatan (tenaga).” Begitu juga dengan para sahabat yang lain, lebih ramai yang cenderung untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah ketika mengerjakan ibadah haji
3. Ulama Syafi’iyyah membenarkan untuk berpuasa pada hari tasyrik hanya untuk keadaan tertentu seperti bersumpah, qadha puasa di bulan Ramadhan serta puasa kifarah (denda). Puasa tanpa sebab tertentu pada hari-hari ini (puasa sunat) adalah ditegah.
.
.
Haram Berpuasa
Adapun berpuasa pada hari Aidiladha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah diharamkan berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Umar ra: “Bahawasanya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari, iaitu Aidil Adha dan Aidil Fitri.” (Hadith Riwayat Imam Muslim, Ahmad, an-Nasa’ie, Abu Dawud)
.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina: “Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari Tasyrik). Ia adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad r.a.).
.
.
Puasa Tambahan
Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Zulhijjah di samping berpuasa pada Hari Arafah (9 Dzulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Zulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Zulhijjah (Hari Arafah). Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari, iaitu dari hari yang pertama bulan Zulhijjah hingga ke hari yang ke lapan sama ada bagi orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama dengan Hari Arafah.
.
Hadis riwayat Ibni Abbas: “Siapa yang berpuasa pada hari akhir Zulhijah dan awal Muharam, nescaya Allah ampunkan segala dosanya walau selama 50 tahun melakukannya.”
.
Bertapa besarnya keistimewaan dan kelebihan puasa yang terdapat di dalam bulan Zulhijjah ini. Jadi marilah kita di tanah air merebut peluang dan kesempatan ini dengan melakukan puasa 1-9 Zulhijjah, atau setidak-tidaknya berpuasa pada Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijah yang amat besar pahala dan manfaatnya dengan melakukannya seikhlas hati.
.
Wallahu A’alam Bissowab
KELAHIRAN YANG DINANTI
Tahniah kepada Encik Mohd Azahari bin Tahir @ Mohamed dari Unit Pembangunan dan isteri yang telah dikurniakan cahaya mata yang ke-5 pada 9 September 2013. Bayi comel diberi nama Nur Dina Khadijah telah dilahirkan di Hospital Serdang dengan berat 2.8 kg.Semoga menjadi anak yang baik teladannya.
Selamat menjadi bapa kepada Syahrezal bin Mohd Salleh dari Unit Kewangan dengan lahirnya putera sulung beliau. Diberi nama Syahmi Safaraz bin Syahrelzal dilahirkan pada 19 September 2013, jam 9.50 pagi di Hospital Sungai Buluh. Semoga keluarganya bertambah ceria dan meriah dengan kehadiran putera tersayang.
Subscribe to:
Posts (Atom)