Thursday, December 29, 2011

Perancangan Perolehan Secara Sebut Harga Dan Tender Bagi Tahun 2012


Makluman kepada semua bahagian dan Institut Kraf Negara,

2.         Sebagai usaha mempertingkatkan kelancaran dan kesempurnaan urusan perolehan secara tender dan sebut harga Kraftangan Malaysia bagi tahun 2012, Unit Perolehan akan menyediakan Perancangan Tender dan Sebut Harga Tahunan. Perkara yang sama telah dipohon oleh Bahagian Kewangan, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) untuk dikemukakan kepada mereka.
                                                                                         
3.         Sehubungan itu, tuan / puan adalah dikehendaki mengemukakan cadangan senarai perolehan secara tender dan sebut harga bagi tahun 2012 dengan mengisi maklumat seperti format berkembar dan dikembalikan ke Bahagian Kewangan dan Pembangunan sebelum atau pada 06 Januari 2012 (Jumaat) jam 5.00 petang.

Sekian, terima kasih.

Tuesday, December 27, 2011

Petua Kesihatan

Empat perkara menguatkan badan
1. makan daging
2. memakai haruman
3. kerap mandi
4. berpakaian dari kapas

Empat perkara melemahkan badan
1. banyak berkelamin (bersetubuh)
2. selalu cemas
3. banyak minum air ketika makan
4. banyak makan bahan yang masam

Empat perkara menajamkan mata
1. duduk mengadap kiblat
2. bercelak sebelum tidur
3. memandang yang hijau
4. berpakaian bersih

Empat perkara merosakkan mata
1. memandang najis
2. melihat orang dibunuh
3. melihat kemaluan
4. membelakangi kiblat

Empat perkara menajamkan fikiran
1. tidak banyak berbual kosong
2. rajin bersugi (gosok gigi)
3. bercakap dengan orang soleh
4. bergaul dengan para ulama


AMALKAN PETUA INI JIKA KORANG RASA IANYA BERGUNA UNTUK ANDA

Tuesday, November 1, 2011

Undang-Undang Dan Peraturan

a) AKTA TATACARA KEWANGAN 1957 (Disemak 1972)

“Suatu Akta yang diperuntukan bagi pengawalan dan pengelolaan wang awam Malaysia, dan bagi acara pengakaunan serta kewangan, termasuk acara bagi pemungutan, penjagaan dan pembayaran wang awam Persekutuan dan Negeri-negeri dan pembelian, penjagaan dan pelupusan harta awam dan perkara-perkara yang bersangkutan dengannya”.

Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957

“Pengelolaan Kumpulanwang Disatukan Persekutuan dan penyeliaan, pengawalan dan arahan semua perkara berhubung dengan hal ehwal kewangan Persekutuan, yang tidak diserahkan khususnya kepada sesiapa oleh sebarang undangundang lain hendaklah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan Akta ini, diletakhak pada Menteri”

b) PERINTAH MENTERI-MENTERI KERAJAAN PERSEKUTUAN
(P.U.(A) 206 bertarikh 24 Jun 2004)

Tanggungjawab Bahagian Perolehan Kerajaan

  • Menggubal dasar-dasar perolehan Kerajaan
  • Menimbang dan meluluskan tender yang dirujuk ke Kementerian Kewangan
  • Menimbang dan memutuskan permohonan pengecualian daripada peraturan perolehan Kerajaan
  • Memberi khidmat nasihat mengenai perolehan Kerajaan
  • Pendaftaran kontraktor bagi bekalan / perkhidmatan dan perunding Kerajaan

c) AKTA PEWAKILAN KUASA 1956 (Disemak 1988)
Memberi kuasa untuk mewakilkan / menurunkan kuasa


d) AKTA KONTRAK KERAJAAN 1949 (Akta 120)

  • Memberi kuasa / membolehkan Menterimenteri yang berkaitan mengikat kontrak
  • Memberi kuasa / membolehkan Menterimenteri menurunkan kuasa kepada Pegawai Kerajaan mengikat / menandatangani kontrak.

e) ARAHAN PERBENDAHARAAN (AP)
(AP 166 HINGGA 206 DAN AP 229 HINGGA 300)

Menjelaskan dengan terperinci tatacara kewangan dan perakaunan dalam menguruskan wang awam / kerajaan


f) SURAT PEKELILING PERBENDAHARAAN (SPP)

Dikeluarkan dari semasa ke semasa untuk memperbaiki, melaksana, memaklumkan, menjelaskan dan meminda dasar, peraturan dan tatacara pengurusan kewangan dan tatacara perakaunan


g) PEKELILING KONTRAK PERBENDAHARAAN (PKP)

Dikeluarkan untuk mengumumkan barangan gunasama yang boleh diperolehi melalui kontrak pusat


h) SURAT ARAHAN PERBENDAHARAAN

Dikeluarkan dari semasa ke semasa untuk menjelaskan dan memperingatkan mengenai peraturan dan tatacara perolehan Kerajaan

Tuesday, September 27, 2011

Jamuan Hari Raya BK&P

Pada 21 September 2011 yang lalu, Bahagian Kewangan & Pembangunan telah mengadakan jamuan sempena Hari Raya Eidul Fitri di ruang kerja Bahagian Kewangan & Pembangunan, Tingkat 1. Pelbagai juadah menarik ada dihidangkan sepanjang jam 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang pada hari tersebut.

Terima kasih kepada semua warga Kraftangan Malaysia yang telah menghadirkan diri. Berikut adalah gambar-gambar menarik ketika majlis berlangsung.








Tuesday, September 13, 2011

Integriti Dalam Perolehan Kerajaan

a) Kerahsiaan Maklumat Tender
  • Dokumen Tender Diklasifikasikan Sebagai Sulit
    Semua maklumat berkenaan sesuatu tender termasuk dokumen tender, tawaran tender dan penilaian tender hendaklah diklasifikasikan sebagai SULIT dan tidak boleh disebarkan kepada mana-mana pihak yang tidak terlibat dengan pengurusan tender sebelum keputusan muktamad dibuat.
  • Merahsiakan Maklumat Tender
    Pegawai Pengawal/Ketua Agensi adalah bertanggungjawab untuk menjelaskan keperluan merahsiakan maklumat dan kedudukan sesuatu tender kepada pegawai yang berkenaan di bawah arahan pentadbirannya. Rujukan hendaklah dibuat kepada peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694]. Mana-mana pegawai awam yang didapati membocorkan rahsia berkenaan sesuatu tender adalah dianggap telah melanggar peruntukan dalam Akta-akta tersebut dan tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil terhadap pegawai awam yang terlibat.

b) Tanggungjawab Mengisytiharkan Kepentingan Terletak Hak
  • Urusan memproses tender
    Mana-mana pegawai yang terlibat dalam memproses sesuatu tender hendaklah memastikan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa kepentingan persendirian atau kepentingan terletak hak mengenai tender itu.  Mana-mana pegawai yang mempunyai kepentingan dalam apa-apa cara pun dengan petender hendaklah mengisytiharkan kepentingan dan menarik diri secara bertulis daripada menguruskannya.

  • Keputusan Lembaga Perolehan
    Mana-mana ahli Lembaga Perolehan yang mempunyai apa-apa kepentingan mengenai sesuatu tender itu, ahli tersebut hendaklah mengisytiharkan kepentingannya serta menarik diri dari perbincangan dan keputusan tender berkenaan dan perkara ini hendaklah diminitkan.
    Ahli Lembaga Perolehan hendaklah bersikap neutral dan profesional dalam mempertimbangkan sesuatu tender serta bebas dari pengaruh luar.


c) Kesalahan Rasuah Dalam Perolehan Kerajaan
  • Selaras dengan usaha Kerajaan untuk mencegah dan membendung perlakuan rasuah dalam perolehan Kerajaan, Agensi Kerajaan dikehendaki memasukkan klausa peringatan mengenai kesalahan rasuah dalam dokumen perolehan Kerajaan di peringkat penyediaan dokumen pelawaan tender.  Sehubungan itu, Surat Arahan Perbendaharaan bertarikh 28 Februari 2009 telah dikeluarkan sebagai peringatan kepada Agensi.

Monday, September 12, 2011

Tambang Tiket Kapal Terbang Perjalanan Luar Negara

Makluman kepada semua cawangan dan bahagian,

Adalah dimaklumkan bahawa, peruntukan perjalanan luar negara adalah terhad dan daripada semakan rekod didapati kos yang tinggi adalah disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

a)    Kos tiket kapal terbang;
b)   Menginap di hotel yang mengenakan bayaran tinggi;
c)    Tidak berkongsi bilik (sama jantina); dan
d)   Membuat tuntutan lojing walaupun berkongsi bilik.

Sehubungan itu, beberapa langkah akan dilaksanakan bagi mengurangkan kos perjalanan luar negara selaras dengan arahan dari Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) seperti berikut:

a)    Semua pembelian tiket kapal terbang bagi pegawai gred 52 dan ke bawah hendaklah dibeli melalui BERNAMA yang telah sudi membantu KPKK mendapatkan tiket pada kadar yang paling murah (tanpa Waran Peruntukan Udara);

b)   Semua pegawai Gred 48 dan ke bawah (sama jantina) jika bertugas melebihi seorang hendaklah berkongsi bilik. Tuntutan lojing tidak dibenarkan sama sekali;

c)    Menginap di hotel yang menawarkan kadar berpatutan atau kadar yang lebih murah berbanding dengan pengesyoran daripada Malawakil; dan

d)   Menggunakan kemudahan pengangkutan awam ke destinasi jika perlu. Semua tuntutan tambang teksi sekiranya ada perlu dengan beresit. Tuntutan tanpa resit adalah tidak dibenarkan.

Semoga berada dalam makluman pihak tuan / puan.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, September 7, 2011

Hari Terakhir Pak Ya Sebelum Bersara

Tarikh 6 September 2011 (Selasa) merupakan hari terakhir Encik Zakaria bin Wasmat atau Pak Ya, kakitangan Unit Kewangan berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Sesungguhnya jasa dan bakti yang telah Pak Ya curahkan selama ini kepada Kraftangan Malaysia amat besar dan tinggi nilainya dan akan terus sentiasa dikenang. Warga BK&P juga turut mengucapkan selamat bersara dan mendoakan agar Pak Ya akan berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi selepas ini.

 Tepat jam 5.04 petang 6 September 2011, mengetik kad perakam waktu terakhir

Bersama rakan sekerja di Unit Kewangan di hari terakhir berkhidmat

Bersama warga kerja Unit Perolehan

Monday, September 5, 2011

Kategori Perolehan

Perolehan Kerajaan dibahagikan kepada tiga (3) kategori seperti berikut:

a. Kerja
  • Perolehan kerja melibatkan kerja-kerja pembinaan seperti bangunan, lapangan terbang, pelabuhan, jalan raya, tapak kawasan, empangan air dan kerja perparitan serta juga merangkumi kerja-kerja mekanikal dan elektrikal.
  • Syarikat yang ingin menyertai perolehan kerja perlu berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dalam kepala dan sub-kepala berkaitan serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (LPIPM/CIDB) dalam kelas dan gred yang berkaitan.
b. Bekalan
  • Perolehan bekalan merangkumi barangan/peralatan yang dibekalkan bagi menjalankan sesuatu program, aktiviti atau projek Kerajaan seperti makanan, pakaian, kenderaan dan kelengkapan pejabat.
  • Syarikat yang ingin menyertai perolehan bekalan perlu berdaftar dengan Kementerian Kewangan dalam kod bidang berkaitan.
c. Perkhidmatan
  • Perolehan perkhidmatan adalah ditafsirkan sebagai khidmat tenaga manusia atau kepakaran untuk melaksanakan dan menyiapkan sesuatu projek tertentu. Bidang perkhidmatan terbahagi kepada dua iaitu perkhidmatan perunding dan bukan perunding.
  • Perkhidmatan perunding meliputi bidang-bidang seperti perunding pembangunan fizikal dan bukan fizikal.
  • Perkhidmatan bukan perunding adalah meliputi perkhidmatan seperti pengendalian kursus dan latihan, penyenggaraan dan pembaikan, pencucian dan pembersihan, penyewaan dan pengurusan bangunan, pengiklanan, pengangkutan dan sebagainya.
  • Syarikat yang ingin menyertai perolehan perkhidmatan perlu berdaftar dengan Kementerian Kewangan dalam kod bidang berkaitan. 

Dasar, Prinsip dan Objektif Perolehan Kerajaan


DASAR PEROLEHAN KERAJAAN
  • Menggalakkan pertumbuhan industri tempatan melalui penggunaan bahan/barangan tempatan dan penggunaan sektor perkhidmatan tempatan;
  • Mempertingkatkan keupayaan industri tempatan melalui pemindahan teknologi;
  • Menggalakkan penglibatan usahawan Bumiputera; dan
  • Memelihara dan mempertahankan kepentingan dasar perolehan Kerajaan bagi mencapai objektif nasional dalam menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi.

OBJEKTIF PEROLEHAN KERAJAAN
  • Menguruskan perolehan secara cekap dan berkesan;
  • Mendapatkan harga yang paling menguntungkan Kerajaan;
  • Menggalakkan pertumbuhan industri tempatan dan penggunaan bahan/barangan/perkhidmatan tempatan;
  • Menggalakkan pemindahan teknologi yang bersesuaian dengan kehendak semasa sektor industri negara; dan
  • Sebagai alat untuk mencapai dasar-dasar nasional.

PRINSIP PEROLEHAN KERAJAAN
  • Akauntabiliti Awam - Urusan perolehan yang diamanahkan hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan mengikut dasar dan peraturan yang ditetapkan.
  • Diuruskan Secara Telus – Semua dasar, peraturan dan proses perolehan yang dilaksanakan hendaklah jelas, diketahui dan difahami umum serta mengikut dasar dan peraturan yang ditetapkan.
  • Nilai Faedah Yang Terbaik – Pengurusan perolehan hendaklah memberi pulangan yang terbaik bagi setiap ringgit yang dibelanjakan.
  • Saingan Terbuka – Proses perolehan hendaklah memberi peluang terbuka kepada semua pihak yang layak bersaing.
  • Adil dan Saksama – Sesuatu perolehan itu dipelawa, diproses dan dipertimbangkan dengan adil dan saksama berasaskan dasar dan peraturan yang ditetapkan.

Maklumat Am Perolehan Kerajaan

Kementerian Kewangan merupakan Agensi Pusat yang menetapkan dasar pengurusan kewangan Kerajaan termasuk perolehan Kerajaan. Seksyen 6 (1) Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] memberi kuasa kepada Menteri Kewangan untuk menyelia dan menyelaras perolehan Kerajaan. Bagi tujuan meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan agensi-agensi Kerajaan, Perbendaharaan Malaysia mengamalkan konsep desentralisasi melalui penurunan kuasa kepada Pegawai Pengawal untuk membuat keputusan. Bagi melaksanakan kewajipan tersebut, Perbendaharaan Malaysia telah mengeluarkan Arahan Perbendaharaan, Surat Pekeliling Perbendaharaan dan peraturan yang berkaitan.

Bagi tujuan untuk mempertimbang dan menyetuju terima tender, pihak berkuasa meluluskan tender ditetapkan seperti berikut:

a) Peringkat Kementerian Kewangan













b) Peringkat Lembaga Perolehan Kementerian/Jabatan Kerja Raya










Thursday, August 25, 2011

Ucapan Hari Raya Idul Fitri (Unit Kewangan)


بسم الله الرحمن الرحيم

اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ

Kami dari unit kewangan mengucapkan selamat hari raya kepada seluruh warga Kraftangan Malaysia... memohon ampun & maaf sekiranya ada terkasar bahasa, budi bicara, terkurang mesra, tersalah tutur kata, terpelat lidah mengata.....

Wednesday, August 24, 2011

Ucapan Hari Raya Idul Fitri (Unit Perolehan)


بسم الله الرحمن الرحيم

اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ

Ramadhan membasuh hati yang berjelaga
Saatnya meraih rahmat dan ampunan-Nya
Untuk lisan dan sikap yang tak terjaga
Mohon dibukakan pintu maaf yang sebesar-besarnya

Kami warga kerja Unit Perolehan ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Idul Fitri 1 Syawal 1432 H kepada seluruh umat Islam khususnya warga Kraftangan Malaysia.
Maaf Zahir & Batin.

Minal Aidin Wal Faidzin Taqabalallahu minnaa wa minkum

Monday, August 8, 2011

Jamuan Untuk Pak Ya

Pada 29 Julai 2011 yang lalu, BK&P telah mengadakan jamuan bagi menyambut kedatangan bulan Ramadhan dan juga meraikan Encik Zakaria bin Wasmat yang lebih dikenali sebagai Pak Ya, kakitangan Unit Kewangan yang akan bersara selepas Hari Raya Eidul Fitri nanti.

Warga BK&P ingin mengucapkan selamat menghadapi alam persaraan kepada Pak Ya dan semoga beliau berjaya di dalam semua bidang yang bakal diceburinya nanti.

Selamat Beribadat di Bulan Ramadhan dan Semoga Beroleh Keampunan dari Ilahi.

Antara juadah yang disediakan

Pengarah BK&P, Encik Bhasri bin Othman menyampaikan ucapannya

Pak Ya ketawa atau terharu?

Mengaminkan doa yang diketuai oleh Encik Mohd Johan bin Kosnan

Pak Ya memberi sepatah dua kata

Hadiah dari Unit Kewangan

Hadiah dari Unit Perolehan

Wednesday, August 3, 2011

Hadis Palsu Kelebihan Tarawih

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata’ala, Selawat dan Salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘Alaihi Wasallam serta para sahabatnya.

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut:

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:
  • Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
  • Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
  • Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
  • Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
  • Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
  • Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.
Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ketiga puluh.

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunah Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah:

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis sahih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.

4. Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan “Ya Ali” sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010

Tahniah diucapkan kepada 3 orang kakitangan BK&P yang telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2010. Mereka telah menerima anugerah tersebut di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) yang diadakan pada 30 Jun 2011 bertempat di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim. Senarai penerima adalah seperti berikut:

Nama: Mohd Zuber bin Othman
Jawatan / Gred: Juruteknik Kanan (N22)
Unit: Unit Pembangunan
Nama: Samsi bin Safie
Jawatan / Gred: Juruteknik Kanan (N22)
Unit: Unit Pembangunan


Nama: Sahazubir bin Idris
Jawatan / Gred: Pembantu Tadbir Kanan (N22)
Unit: Unit Kewangan

Tuesday, July 26, 2011

Pemberian Hadiah Perkahwinan

Pada 21 Julai 2011 (Khamis), Pengarah Bahagian Kewangan & Pembangunan, Encik Bhasri bin Othman telah bermurah hati untuk memberi hadiah kepada 4 orang warga BK&P yang telah melangsungkan perkahwinan baru-baru ini.

Mereka yang terlibat ialah Encik Azly bin Razlan dan Puan Zafika binti Abdul Razak (Unit Pembangunan), Puan Nurul Shafura binti Che Pura (Unit Perolehan) dan Puan Juhaidah binti Marzuki (Unit Kewangan).

Warga BK&P mengucapkan tahniah kepada mereka.

Pengarah BK&P bersama Encik Azly bin Razlan 

 Pengarah BK&P bersama Puan Nurul Shafura binti Che Pura

 Pengarah BK&P bersama Puan Zafika binti Abdul Razak

Pengarah BK&P bersama Puan Juhaidah binti Marzuki

Monday, July 11, 2011

Selamat Pengantin Baru Shafura

Pada 3 Julai 2011 yang lalu, Puan Nurul Shafura binti Che Pura, kakitangan Unit Perolehan telah melangsungkan majlis perkahwinannya bersama pasangannya, Mohamad Nuri bin Mohamad Ali di Selayang Baru, Batu Caves, Selangor.

Warga BK&P mengucapkan selamat Pengantin baru dan mendoakan agar mereka berbahagia hingga ke akhir hayat.

Nurshahrul Selamat Melahirkan Anak Ketiga

Tahniah kepada Akauntan Unit Kewangan, Puan Siti Nurshahrul Binti Haji Sarom kerana telah selamat melahirkan anaknya yang ke-3 pada 27 Jun 2011 (Isnin) yang lalu.

Beliau telah melahirkan bayi lelaki seberat 3.45 kg secara normal di Hospital Ampang, Selangor. Warga BK&P mengucapkan tahniah kepada beliau.

Azly Menamatkan Zaman Solo


Tahniah kepada Juruteknik Unit Pembangunan, Encik Azly bin Razlan kerana telah menamatkan zaman bujangnya setelah melangsungkan majlis perkahwinan dengan pasangannya, Puan Noorzilah binti Abd Rahman. Majlis di rumah pengantin perempuan telah berlangsung pada 25 Jun 2011 di Sungai Petani, Kedah manakala majlis di rumah pengantin lelaki diadakan pada keesokan harinya iaitu pada 26 Jun 2011 di Padang Rengas, Perak.

Semoga rumahtangga yang dibina akan berkekalan hingga ke akhir hayat.

Tuesday, June 28, 2011

Kursus Pengurusan Perolehan Kerajaan





Pada 24 dan 25 Jun 2011 yang lalu, telah berlangsung Kursus Pengurusan Perolehan Kerajaan anjuran bersama Unit Pengurusan Sumber Manusia dan Unit Perolehan, Kraftangan Malaysia. Seramai 50 orang peserta dari seluruh cawangan dan bahagian di Ibu Pejabat telah terlibat dalam kursus yang diadakan di Dewan Seri Utama 2, Kraftangan Malaysia itu.

Antara tajuk ceramah kursus ialah Bicara Perolehan Bersama TKP (O), Dasar, Prinsip dan Tatacara Perolehan Kerajaan, Sebut Harga dan Tender, Penilaian Sebut Harga dan Tender, Pentadbiran Kontrak dan Pengurusan Perolehan dari Perspektif Audit.

Seramai 6 orang penceramah yang berpengalaman dalam pengurusan perolehan telah dijemput untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan bersama peserta. Mereka terdiri dari wakil Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) termasuk Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Kraftangan Malaysia, Encik Ramli bin Mohd Noor yang sudi meluangkan masa untuk berbual bicara bersama peserta mengenai isu-isu dalam pengurusan perolehan di Kraftangan Malaysia.

Semoga semua peserta yang hadir mendapat manfaat dari kursus tersebut untuk diterjemahkan dalam pengurusan perolehan yang dilaksanakan.

Wednesday, June 22, 2011

Pengumpulan Maklumat Perolehan Kerajaan Bagi Suku Tahun Pertama & Kedua Tahun 2011

Makluman kepada semua cawangan,

Dimaklumkan bahawa, kerjasama daripada pihak tuan / puan diperlukan untuk mengemaskini dan mengemukakan Maklumat Perolehan Kerajaan kepada pihak kami menerusi Government Procurement System (GPIS). Maklumat yang perlu dikemukakan adalah bagi tempoh suku tahun pertama iaitu 1 Januari 2011 hingga 31 Mac 2011 dan suku tahun kedua tahun iaitu 1 April 2011 hingga 30 Jun 2011.

Maklumat perolehan yang telah dikemaskini hendaklah dikemukakan kepada Unit Perolehan, Bahagian Kewangan & Pembangunan (dalam bentuk softcopy sahaja) melalui e-mail ridzwan@kraftangan.gov.my dan rohaya_abd@kraftangan.gov.my sebelum atau pada 1 Julai 2011 (Jumaat).
                                                                       
Kerjasama dan perhatian tuan / puan berhubung perkara ini adalah amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Sunday, June 12, 2011

Selamat Pengantin Baru Juhaidah



Pada 4 Jun 2011, seorang lagi kakitangan BK&P dari Unit Kewangan telah menuju ke gerbang perkahwinan. Beliau ialah Puan Juhaidah binti Marzuki yang telah bertemu jodoh dengan jejaka pilihannya, Encik Muhamad Salahuddin bin Morat. Majlis perkahwinan telah diadakan di rumah pengantin perempuan di Taman Wira Mergong, Alor Setar, Kedah.

Warga BK&P mengucapkan selamat Pengantin baru dan mendoakan agar mereka berbahagia hingga ke akhir hayat.

Sunday, May 29, 2011

Pengumpulan Maklumat Perolehan Kerajaan Melalui Sistem GPIS


Makluman kepada semua cawangan,

Sebagaimana tuan / puan sedia maklum, Kementerian Kewangan telah melaksanakan Sistem Maklumat Perolehan Kerajaan (Government Procurement System-GPIS) bagi menggantikan pelaporan secara manual yang perlu dikemukakan pada tiap suku tahun. Aplikasi sistem ini berkuatkuasa sepenuhnya bermula tahun 2011.

Sehubungan itu, kerjasama daripada pihak tuan / puan diperlukan untuk mengemaskini laporan perolehan di cawangan tuan / puan secara berterusan di dalam Government Procurement System (GPIS) dan memastikan laporan tersebut lengkap pada tiap suku tahun untuk direkodkan oleh pihak Kementerian Kewangan. Tarikh akhir penghantaran maklumat adalah seperti jadual berikut:


LAPORAN
TARIKH AKHIR PENGHANTARAN MAKLUMAT
Suku Tahun Pertama
 31 Mac 2011
Suku Tahun Kedua
 30 Jun 2011
Suku Tahun Ketiga
 30 September 2011
Suku Tahun Keempat
 31 Disember 2011


Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan mengenai sistem ini, bolehlah menghubungi pegawai Unit Perolehan, Encik Mohd Ridzwan Bin Misran atau Puan Rohaya Binti Abdullah.

Kerjasama dan perhatian tuan / puan berhubung perkara ini adalah amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian.

Kak Jat Selamat Melahirkan Anak Lelaki



Tahniah kepada Akauntan Kanan Unit Kewangan, Puan Siti Hajar Binti Haji Samad yang lebih mesra dengan panggilan Kak Jat kerana telah selamat melahirkan anaknya yang ke-5 pada 19 Mei 2011 yang lalu.

Beliau telah melahirkan bayi lelaki seberat 3.67 kg secara normal di Hospital Ampang, Selangor. Warga BK&P mengucapkan tahniah dan selamat bercuti kepada beliau.

Zafika Mengakhiri Zaman Bujang

Selamat Pengantin Baru kepada Puan Zafika Binti Abdul Razak, Juruteknik Unit Pembangunan yang telah menamatkan zaman bujang bersama pilihan hatinya, Suhaimi Bin Mahamud  Nawai.

Majlis telah diadakan pada 30 April 2011 yang lalu di rumah pengantin perempuan di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan. Warga BK&P mengucapkan selamat menempuh alam rumah tangga dan didoakan mereka berdua kekal hingga ke akhir hayat.


Monday, May 2, 2011

Tahniah: Ridzwan 2 Herman 1

Tahniah diucapkan kepada Encik Mohd Ridzwan Bin Misran dan Encik Herman Bin Husin kerana isteri mereka telah selamat melahirkan cahaya mata baru-baru ini.

Encik Mohd Ridzwan, Penolong Pengarah di Unit Perolehan telah dikurniakan anak ke-2 seberat 3.17 kg di Hospital Serdang pada 25 April 2011. Bayi perempuan itu telah diberi nama Nurun Nuha.

Manakala Encik Herman, Penolong Pegawai Seni Bina di Unit Pembangunan telah dikurniakan anak sulung iaitu bayi lelaki seberat 3 kg di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada 26 April 2011 dan diberi nama Hilfiy Haazim.

Semoga Haazim dan Nuha akan menjadi anak yang soleh dan solehah.

Nurun Nuha Binti Mohd Ridzwan

Saturday, April 23, 2011

Hari Terakhir Pelajar Praktikal


Pada 15 April 2011, Unit Kewangan telah mengadakan majlis meraikan perpisahan Pelajar Praktikal daripada UiTM, iaitu Cik Shahida binti Sanuse dan Cik Nur Suhana binti Azhar yang telah menjalani latihan praktikal di Unit Kewangan bermula dari 1 Januari 2011 hingga 15 April 2011.

Shahida dan Suhana yang dikenali sebagai pasangan ShaNa mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) telah menimba banyak manfaat dan selok-belok dunia kewangan. Semasa menjalani latihan, mereka turut berkesempatan membantu pengurusan kad kredit sepanjang Hari Kraf Kebangsaan 2011 berlangsung.

Warga BK&P mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka.

Tuesday, April 19, 2011

Penyerahan Pesanan Tempatan, Inden Kerja Dan Cek Bayaran Kepada Pembekal / Kontraktor


Adalah dimaklumkan bahawa berkuatkuasa serta merta, semua Pesanan Tempatan, Inden Kerja dan Cek Bayaran di Ibu Pejabat akan diserahkan terus oleh Bahagian Kewangan & Pembangunan kepada Pembekal / Kontraktor yang dilantik.

Sehubungan itu, semua anggota kerja adalah dilarang untuk mengambil Pesanan Tempatan, Inden Kerja dan Cek Bayaran bagi pihak Pembekal / Kontraktor.

Semoga berada dalam makluman.

(Sila rujuk memo dari Bahagian Kewangan & Pembangunan bertarikh 12 April 2011 bil. (06) PK/WP/22/12/03/100 jld 4)

Monday, April 18, 2011

Salam Takziah

Salam takziah kepada Puan Norhaliza binti Hashim (Unit Pembangunan) dan suaminya Encik Abdul Nasir bin Abdul Mutalib (Unit Pentadbiran Am) kerana anak kembar mereka yg baru dilahirkan pada awal pagi 16 April 2011 telah meninggal dunia... Sesungguhnya Allah s.w.t lebih menyayangi mereka... Al-Fatihah... semoga kalian berdua tabah menempuh dugaan ini...

Monday, April 11, 2011

Selamat Menyambut Kelahiran Anak Pertama, Nizam


Tahniah kepada Encik Mohd Nizam bin Sallahudin kerana isterinya telah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.5 kg pada 6 April 2011 di Hospital Selayang. Semoga kehadiran cahaya mata memberi sinar baru kepada Encik Nizam sekeluarga.

Tuesday, April 5, 2011

Pertukaran Kakitangan BK&P

Warga BK&P mengucapkan selamat bertugas di tempat baru kepada Encik Mohd Sharif bin Hamid yang telah melapor diri di Bahagian Strategi Korporat mulai 1 April 2011 yang lalu. Kami mengucapkan ribuan terima kasih di atas segala kerjasama dan komitmen yang telah diberikan kepada BK&P semasa beliau bertugas di sini.

Warga BK&P juga mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas buat Puan Noor Hapizah binti Abdullah yang bertukar dari Bahagian Usahawan. Semoga kehadirannya di Unit Perolehan akan memantapkan lagi perkhidmatan BK&P.

Nama: Mohd Sharif bin Hamid
Jawatan / Gred: Pembantu Tadbir (N17)
Penempatan Semasa: Unit Perolehan
Penempatan Baru: Bahagian Strategi Korporat
Tarikh Kuat Kuasa: 1 April 2011


Nama: Noor Hapizah binti Abdullah
Jawatan / Gred: Pembantu Tadbir (N17)
Penempatan Semasa: Bahagian Usahawan
Penempatan Baru: Unit Perolehan
Tarikh Kuat Kuasa: 1 April 2011

Selamat Memulakan Tugas di Cawangan

BK&P mengucapkan selamat memulakan tugas kepada 3 orang Pembantu Akauntan yang telah melapor diri di cawangan masing-masing pada 4 April 2011 setelah menjalani latihan selama 2 bulan di Unit Kewangan. Mereka ialah Cik Amalina binti Rossli (cawangan Selangor), Cik Norazima binti Zakaria (cawangan P. Pinang) dan Cik Nurul Aini binti Md Dan (cawangan N. Sembilan).

Semoga dengan kehadiran mereka ini akan dapat memantapkan lagi sistem kewangan di cawangan ke arah yang lebih cekap dan efisien.

Dua dari kiri: Cik Amalina binti Rossli dan Cik Norazima binti Zakaria
Duduk: Cik Nurul Aini binti Md Dan

Sunday, April 3, 2011

Tahniah!!! SPM 10A


Tahniah diucapkan kepada Encik Sahazubir bin Idris (gambar) yang lebih dikenali sebagai Pak Uda kerana seorang lagi anaknya telah memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan tahun lepas. Kali ini, anak sulungnya Muhammad Anas yang mengambil peperiksaan SPM telah mendapat 10A dan memperolehi 1B+ bagi mata pelajaran pilihan iaitu Bahasa Arab Tinggi.

Muhammad Anas, pelajar aliran sains tulen di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub, Pahang telah menghafal 3 juzuk Al-Quran dan menjadi contoh kepada adik-adiknya yang lain. Beliau telah memperolehi 9A dalam peperiksaan PMR sebelum ini dan mendapat 3A 2B dalam peperiksaan UPSR sebelumnya.

Adik keduanya, Yuhanis berjaya mengikut langkah abangnya apabila mencatat 9A dalam peperiksaan PMR tahun lepas dan mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR sebelumnya. Beliau kini belajar di Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMAKL) dalam tingkatan 4.

Adik ketiganya, Muhammad Ammar juga turut mencatat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan UPSR tahun lepas apabila mendapat semua A iaitu 5A. Beliau kini belajar di Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMAKL) bersama kakaknya dalam tingkatan 1.

Semoga kejayaan Pak Uda mendidik anak-anaknya akan menjadi pendorong kepada semua kakitangan Kraftangan Malaysia untuk membentuk anak-anak ke arah kejayaan di dunia dan akhirat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...